HINA AGUNG DIBIDAS

Presiden Malaysia Indian United Parti(MIUP), Datuk Nallakaruppan membidas tindakan sesetengah pihak yang menghina DYMM Yang di-Pertuan Agong di portal berita sosial.  Beliau menggesa pihak polis supaya  mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang menghina DYMM Yang di-Pertuan Agong.  Mereka perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya.

MIC PERLU BUANG SIKAP DEGILNYA

Pertubuhan Penyayang dan Perpaduan Selangor menggesa MIC supaya membuang sikap degilnya dengan memberi laluan kepada Waythamoorthy yang dilantik sebagai Timbalan Menteri bagi membolehkan beliau menjalankan tugasnya.  Ketua pertubuhan tersebut, Selvindran mengingatkan, sesuai dengan jawatan yang disandang, Waythamoorthy perlu mengatasi masalah yang masih menghantui kaum India seperti untuk mendapatkan kad pengenalan merah dan kewarganegaraan. 

RAMAI KAUM CINA PADA PERHIMPUNAN BLACKOUT 505

Dalam tulisan blog, chedet.com, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar peserta dalam siri perhimpunan jalanan pada 5 Mei lalu, terdiri daripada kaum Cina. Beliau berpendapat, perkembangan itu akan menyebabkan berlakunya polarisasi kaum yang lebih serius manakala orang Melayu akan terus disisih dari segi ekonomi dan politik. Tambahnya, jumlah orang Melayu yang sedikit dalam perhimpunan ini juga boleh dikaitkan dengan keterasingan pemimpin PAS dalam demonstrasi tersebut. 

NGO DESAK AHLI PARLIMEN PAKATAN BOIKOT MAJLIS ANGKAT SUMPAH

Ketua Kumpulan Gabungan NGO, Haris Ibrahim, menggesa wakil Pakatan Rakyat supaya memulaukan majlis angkat sumpah di Parlimen yang dijadual berlangsung pada akhir Jun ini kerana percaya berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu. Beliau berkata, mereka akan memulakan kempen dan menyerahkan memorandum kepada pemimpin politik tertentu pada minggu ini. Beliau berkata, pemulauan pada 24 Jun itu juga akan menguatkan lagi bantahan Pakatan yang selama ini disalurkan melalui siri perhimpunan jalanan di seluruh negara. Beliau turut mendakwa, bahawa sebanyak 51% pengundi telah ditipu dalam menentukan siapa yang akan mentadbir Putrajaya. 

BATALKAN PASPORT, DAP AKAN BANTU

DAP akan menawarkan bantuan kepada rakyat Malaysia di luar negara yang  pasport mereka dibatalkan oleh kerajaan ekoran penglibatan mereka dalam membantah amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa  kerajaan Barisan Nasional.  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan berdiam diri melihat rakyat Malaysia diambil tindakan sedemikian hanya kerana mereka menggunakan hak mereka mendedahkan kepincangan kerajaan.

SUKAR UNTUK MENANG PETISYEN PILIHAN RAYA - PKR

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui bahawa adalah sukar untuk memenangi sesuatu petisyen pilihan raya di mahkamah. Semasa bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam, beliau merasakan sukar untuk membuktikan adanya penipuandalam  pilihan raya dan ia di luar kemampuan manusia untuk membuktikannya. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rafizi berkata, pihak yang memfailkan petisyen itu perlu membuktikan bahawa pihak lawan telah memberi rasuah atau telah menakut-nakutkan pengundi untuk mempengaruhi undi mereka.

MENGAPA PROSES PELANTIKAN WAKIL INDIA LEWAT?

Kesemua calon MIC yang bertanding di tiga kerusi DUN di Perak pada PRU-13 yang baru lalu, kalah.  Ini bermakna tiada wakil India dalam kerajaan negeri Perak.  Namun, Menteri Besar, Datuk Zambry telah berjanji akan memperuntukkan jawatan penasihat khas dan pegawai khas bagi masyarakat India.  Tetapi, timbul persoalan mengapa wakil-wakil tersebut masih belum dilantik?